Muhd Abd Rahman & Habibah Mohamed

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, August 10, 2010

Penyusuan Susu Ibu dan Puasa (Part 1)

Salam semua,

Dah lama tak berblog. Malas pun ye, sibuk pun jugak. Dua minggu lepas, saya balik KL sebab nak setelkan rumah yang telah lama ditinggalkan. Fuh, berhabuk2 mengalahkan nak pindah rumah baru... Kalau betul-betul nak pindah rumah ni, confirm kena panggil orang kemaskan rumah..

Lagi sehari dua, kita akan berpuasa. Tukang jahit dah tutup kedai, tiada lagi tempahan. Iklan-iklan puasa dan raya pun dah timbul di kaca TV. Lagu raya je belum dengar lagi. Bagi saya, tak hantar baju-baju untuk tempahan sebab nak cari baju untuk penyusuan susu ibu. Bercakap tentang penyusuan dan puasa, saya pasti ramai ibu-ibu muda yang gelisah. Yelah, puasa Ramadhan adalah WAJIB dan pada masa yang sama, ibu-ibu ini nak teruskan penyusuan susu ibu.

Puasa ketika masih lagi menyusukan anak tidak menjadi satu bebanan kerana ibu-ibu diharuskan berbuka jika mereka rasa tidak sihat dan kurangnya supply kerana dehidrasi. Puasa ketika menyusukan boleh dijayakan jika ibu-ibu mengambil sahur dengan diet yang seimbang dan pengambilan air yang banyak. Bila berbuka pun, diharuskan berbuka dengan makan yang ringan-ringan dulu, macam sepotong kuih atau 3-7 biji kurma. Kemudian jangan lupa pengambilan air di antara maghrib dan subuh. Kena adjust masa la... Kita yang kenal diri kita, jadi pandai-pandailah jaga badan. Kalau ibu-ibu rasa takut tak sempat nak masak sahur dan sempat sediakan telur goreng je, yelah diet tak berapa nak seimbang, bolehlah ambil suplemen. Brand suplemen itu bergantung kepada ibu-ibu. Saya bukannya jurujual suplemen atau penambah susu.


Artikel di bawah saya dapat ketika search mengenai tajuk di atas. Sila-silalah baca... :)


Ramadhan dan Penyusuan Ibu
Norkumala Binti Awang Pegawai Penyelidik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

21/08/2009 | Artikel Bahasa Malaysia
Tatkala Ramadhan menjelang tiba, sudah pasti setiap ibu yang menyusukan anak melahirkan kebimbangan di hati. Bukan tidak mampu untuk menunaikan ibadah yang tercatit dalam Rukun Islam tetapi kegusaran mengenangkan bagaimana untuk menyusukan bayi sedangkan diri terikat dengan ibadah puasa. Yang dikhuatirkan ialah pengeluaran susu ibu semakin berkurang dan ibu tidak dapat menyesuaikan diri dalam keadaan berpuasa. Itulah stigma yang seringkali kita dengar bahkan seringkali disogokkan oleh kebanyakan orang.

Dalam Islam, setiap ibu yang menyusukan ataupun hamil dibolehkan berbuka puasa sebagai satu bentuk keringanan yang ditawarkan. Tetapi perlu ada sebab mengapa diberikan pilihan untuk berbuka kerana ia mempengaruhi cara penggantian hari berpuasa yang ditinggalkan. Sebab itulah, setiap wanita yang menyusukan bayi ataupun hamil perlu memahami perkara- perkara yang bersangkutan dengan pengurusan berpuasa iaitu bila keharusan untuk berbuka dan kesannya dari segi qadha' dan fidyah. (yang ni nak kena tanya yang arif agama, nanti saya hapdate)

Namun, dengan kajian- kajian yang dilakukan oleh ramai penyelidik, berpuasa tidak mendatangkan kemudaratan terhadap ibu- ibu yang menyusukan anak. Dengan itu, kaum ibu tidak perlu risau akan kekurangan penghasilan susu dan kesannya terhadap bayi selagi mana mereka istiqamah dalam mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat semasa di bulan Ramadhan. Kebimbangan dan kekhuatiran tidak seharusnya timbul apatah lagi berpuasa sebenarnya lebih banyak memberi kemanfaatan kepada semua berbanding kemudaratan. Kemudaratan hanya berlaku dalam kes- kes terpencil yang diharuskan dalam agama untuk berbuka puasa. 

Pelbagai persoalan yang timbul di fikiran ibu- ibu yang menyusukan bayi berkenaan dengan puasa. Namun, ia mungkin akan terjawab jika kita sendiri faham akan erti pengurusan puasa dan juga tahu akan natijahnya dari sudut perspektif sains. Kadangkala bukan ibu yang menyusukan bayi bimbang akan kesihatan tetapi masyarakat sekeliling ataupun keluarga terdekat yang mempengaruhi minda dan pemikiran ibu- ibu bahawa berpuasa boleh membahayakan bayi yang disusui. Lantas, sebab itulah perlunya pemahaman yang mendalam tentang puasa dan peri pentingnya penyusuan susu ibu agar pilihan untuk berbuka puasa itu dapat diminimumkan. Ia merupakan satu langkah yang proaktif supaya tidak timbul masalah yang mendatang dan kesihatan ibu dan anak juga akan diberkati Allah natijah daripada manfaat puasa itu sendiri.

Banyak kajian menyatakan bahawa berpuasa tidak akan mengurangkan pengeluaran susu ibu tetapi berlakunya dehidrasi yang teruk kepada si ibu akan menyebabkan bekalan susu ibu akan berkurangan. Jika kita lihat, berpuasa hanya melibatkan penahanan diri daripada makan dan minum hanya memakan tempoh yang sekejap. Jadi tidak timbul masalah dehidrasi jika kita mengamalkan cara pemakanan yang telah dianjurkan dan minum air dalam kuantiti yang cukup. Ada sesetengah individu yang kekurangan air di dalam badan adalah disebabkan kurangnya pengambilan air yang mencukupi sewaktu berbuka puasa dan kesannya adalah kepada badan untuk keesokan hari. Badan yang kekurangan air akan menyebabkan keletihan yang berpanjangan, sebab itulah disarankan agar mendapat bekalan air yang mencukupi untuk badan segar dan bertenaga terutamanya bagi ibu- ibu yang menyusukan bayi.

Ada juga sesetengah pendapat mengatakan bahawa, jika ibu- ibu berpuasa, akan meningkatkan penghasilan toksin di dalam badan dan akhirnya juga terdapat dalam susu ibu yang akan memberi kesan terhadap bayi. Namun, perlu kita ingat, bayi juga memiliki sistem imun yang dapat menahan diri mereka daripada serangan penyakit. Tanggapan sebegini perlu kita ambil iktibar dan diterjermahkan dalam ertikata puasa yang kita jalani. Allah mensyariatkan berpuasa kepada hamba- hambaNya kerana pelbagai faedah dan manfaat yang diperolehi daripadanya. Terpulang kepada diri kita untuk memanifestasikan puasa dalam kehidupan yang sebenar dengan situasi seperti ibu- ibu yang menyusukan bayi. Kajian yang dijalankan di Afrika Barat mendapati bahawa berpuasa pada bulan Ramadhan tidak memberi kesan kepada pengeluaran susu ibu yang menyusukan bayi tetapi kemungkinan komposisi susu ibu tersebut akan berubah. Hal ini adalah sejajar jika dikaitkan dengan pemakanan ibu semasa bulan Ramadhan kerana nutrien susu adalah bergantung kepada pemakanan ibu. Seandainya pemakanan sihat dan sempurna yang diamalkan, ia tidak akan mengundang masalah terhadap komposisi susu tersebut tetapi jika terdapat kekurangan dalam pengambilan makanan, kemungkinan komposisi tersebut akan berubah. Namun, ia tidak mendatangkan masalah terhadap kesihatan bayi. Ini kerana, ia boleh dilihat sebagai suatu kitaran iaitu, ibu- ibu boleh menggantikan makanan atau zat yang tidak cukup tersebut selepas waktu berbuka. Selagi mana pemakanan sihat diutamakan, tiada masalah yang diundang buat ibu dan bayi yang menyusu.

Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat juga menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu. Sungguh hebat penciptaan Allah. Penyusuan susu ibu digalakkan di dalam Islam dan dalam masa yang sama disyariatkan berpuasa dalam bulan Ramadhan. Suruhan ini terkandung implikasi yang mendalam terhadap kesihatan setiap manusia khususnya yang bergelar ibu. Malah ada pula rukhsah yang dibolehkan berbuka puasa, istimewa untuk golongan tersebut jika berlaku kekhuatiran dan keadaan yang tidak diduga. Tetapi, bagi kita yang ingin merebut peluang berpuasa di bulan yang mulia seharusnya tidak menjadikan penyusuan susu ibu sebagai suatu halangan untuk mendapat dua ganjaran yang hebat tersebut dalam masa yang sama. Ditambah lagi, kajian- kajian sains terkini yang membuktikan tiada permasalahan yang menghalang wanita yang menyusukan bayi untuk berpuasa dari segi kesihatan ibu dan bayi itu sendiri. Malah, kita seharusnya percaya, sudah pasti ada hikmah dan keistimewaan yang tersirat di samping yang tersurat dengan apa yang Allah telah tentukan buat hambaNya yang bergelar wanita dan ibu.

Sesungguhnya Ramadhan akan menjadi lebih bermakna jika sebagai ibu, kita tidak mengambil mudah akan hal melaksanakan puasa dan meneruskan penyusuan bayi. Seboleh yang mungkin untuk meminimumkan pilihan berbuka puasa jika tiada apa- apa masalah ketika menyusukan bayi. Secara tuntasnya, sebagai langkah proaktif bagi ibu- ibu, seharusnya mengambil peluang untuk mengkaji lebih mendalam hakikat disyariatkan penyusuan susu ibu dan tidak menjadikan Ramadhan sebagai satu halangan untuk memberhentikan penyusuan ibu mahupun mengambil langkah berbuka puasa sewenang- wenangnya untuk menyusukan bayi tanpa ada sebab yang munasabah. Yang paling penting ialah pendidikan pemakanan yang sihat harus disemai dalam setiap diri ibu yang menyusukan bayi agar dapat mengharungi bulan puasa dengan sihat dan cergas tanpa sebarang masalah.
------------------------------------------------------------------------------------

Tetapi ibu-ibu jangan lupa konsep yang paling penting dalam penyusuan:
1. Demand and supply
2. Selalu kosongkan payudara
3. Kawal EMOSI, selalu bertenang dan HAPPY-HAPPY selalu...

Salam Sayang,

XOXO

No comments:

Post a Comment